Thursday, June 18, 2009

Anjung Angkat PPDa

Anjung Koperasi SMKBK ini telah dijadikan Anjung Angkat PPDa. Anjung ini telah dilengkapkan dengan informasi tentang PPDa. Sebuah Dam Ular Gergasi antirokok dan antidadah telah direkabentuk dan diletakkan di anjung ini.

Sanggar Lestari PPDa

SANGGAR LESTARI PPDa YANG DILENGKAPI DENGAN KOLAM INI TELAH DIHIASI DENGAN GANTUNGAN MEMO TENTANG PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH

Kata Alu-aluan Penyelaras Bilik PPDa

Kata Alu-aluan Penyelaras Bilik PPDa SMK Bukit Katil

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi dengan limpah dan kurniaNya kerana dapat memberi semangat dan kekuatan bagi kami mewujudkan bilik PPDa ini. Sesungguhnya berkat usaha guru-guru PPDa lahirlah bilik PPDa yang dahulunya merupakan sudut PPDa.

Sokongan dan idea-idea bernas daripada pentadbir khususnya tuan pengetua serta barisan pentadbir juga amat saya hargai. Di samping itu, segala bantuan dan dorongan daripada guru-guru rakan sejawat, guru-guru pelatih, kakitangan sokongan dan pekerja-pekerja swasta diucapkan terima kasih.
Tidak lupa juga ucapan terima kasih buat semua pelajar ahli SLAD, ahli PRS dan ahli Kelab Kaunseling yang tidak jemu-jemu menghulurkan bantuan dan tenaga tanpa mengira masa. Sesungguhnya apa yang anda semua hulurkan tak dapat dibalas dengan wang ringgit.
Harapan saya dan juga guru-guru SLAD terutama Pn Laila, En Mohamed Azri dan Pn Hamidah, usaha murni mewujudkan bilik PPDa ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung. Jawatankuasa bilik ini juga akan berusaha memastikan maklumat-maklumat PPDa sentiasa terkini selaras dengan moto bilik iaitu Bilik PPDa Cemerlang Informasi dan meningkatkan penggunaan bilik ini.

Semoga generasi akan datang menyedari bahawa penyalahgunaan dadah membawa padah bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Sekian. Terima Kasih


PN MELUR BINTI BADERON
Penyelaras Bilik PPDa Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil

Wednesday, June 17, 2009

LAMAN PENGETUA

Kata Alu-aluan Pengetua SMK Bukit Katil



Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana Buku Dokumentasi Bilik Pendidikan Pencegahan Dadah telah dapat disiapkan bagi memenuhi keperluan penggunaan Bilik PPDa.

Penubuhan Bilik PPDa pada tahun 2008 di SMK Bukit Katil ini, telah banyak memberikan pendedahan kepada warga sekolah tentang kepentingan pendidikan pencegahan dadah dalam pembangunan sahsiah yang cemerlang. Bilik PPDa yang dilengkapi dengan maklumat pendidikan pencegahan dadah ini banyak membantu guru-guru melaksanakan program PPDa merentasi kurikulum. Sumber dan bahan untuk proses pengajaran dan pembelajaran boleh diperolehi dengan mudah di bilik ini. Bilik ini yang boleh diakses oleh semua warga sekolah pada bila-bila masa menyediakan pelbagai aktiviti selaras dengan visinya Kesedaran dan Keinsafan Bahaya Dadah.

Walaupun baru berusia setahun jagung, bilik ini telah berjaya layak mewakili Kawasan Ayer Keroh dalam Pertandingan Bilik PPDa Peringkat Negeri Melaka pada tahun 2009. Dalam Pertandingan tersebut komponen-komponen yang dipertandingkan termasuklah bilik PPDa, laluan PPDa, Anjung Angkat PPDa dan Sanggar Lestari PPDa.

Saya mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada jawatankuasa Bilik PPDa yang diketuai oleh Pn Melur atas komitmen yang cukup hebat sehingga berjaya dicalonkan bertanding pada peringkat Negeri. Terima kasih juga kepada seluruh warga SMK Bukit Katil yang menghulurkan segala macam bentuk kerjasama sehingga Bilik PPda ini lengkap, sempurna dan penuh bermaklumat. Setinggi-tinggi penghargaan kepada PIBG dan agensi-agensi luar yang sama-sama menyumbangkan tenaga dan bahan untuk melengkapkan bilik PPDa ini.

Saya menaruh harapan yang tinggi agar Bilik PPDa SMK Bukit Katil yang bermotokan Bilik PPDa Cemerlang Informasi akan meraih satu kejayaan dalam pertandingan pada peringkat Negeri pada tahun 2009 ini.

Sekian. Terima kasih.

PN. HJH. RUKIAH BTE MUSTAKIM PJK
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil